Pikir, Pikir dan Terus Pikir....

Saya berkunjung ke rumah seorang kawan yang sudah tidak berjumpa selama hampir 30 tahun! Bertemu juga dengan keluarga beliau. Alhamdulillaah sihat sejahtera semua.

Kebetulan anak perempuannya yang sedang mengambil kursus doktor pergigian di Mesir juga ada di rumah, sedang bersiap sedia untuk pulang ke Mesir kerana cuti semester sudah sampai ke penghujung.

Yang menariknya, semasa bercuti beliau sibuk berniaga online!

Mendesain dan menjual tudung! Bisnes laku menurut emaknya. Kerana cuti sudah sampai ke penghujung, bisnes online ditutup walaupun masih ada permintaan.

Saya tumpang gembira di atas kejayaan bisnesnya :)


Iktibar

Ada orang yang mempunyai idea, dan terus bertindak!

Ada orang yang mempunyai wawasan..... masih terus berfikir, terus merancang, terus menyediakan kertaskerja dan terus sampai hari ini tidak bergerak bisnesnya.

Ada waktu untuk merancang. 

Ada masa untuk bertindak.

Ada apa lagi nak tunggu?

Sudah Terlambat Untuk Mula Bisnes?

Kadang2 ada orang yang berkata "saya dah tua untuk mula berniaga".

Benarkah untuk berjaya dalam bisnes mesti umur muda? Benarkah kalau sudah berumur, sangat sukar untuk berniaga dan berjaya?

Tidak ada undang2 yang menetapkan had umur perniagaan. Yang muda boleh. Umur pertengahan boleh. Yang warga emas pun boleh.

Tony Fernandes mengambil alih dan memulakan operasi AirAsia pada umur hampir 40 tahun.

Kolonel Sanders mula menjual ayam goreng pada umur 40 tahun, dan melancarkan francais pertama Kentucky Fried Chicken (KFC) pada umur 60 tahun.

Ingvar Kamprad memulakan bisnes IKEA pada umur 17 tahun. Pada awalnya dia menjual barangan "pesanan melalui pos". Pada umur Ingvar 22 tahun, IKEA mula menjual perabut. Gedung besar IKEA yang pertama dibuka pada tahun 1958 sewaktu Ingvar berumur 32 tahun.

Berikut ialah beberapa lagi contoh..... "Bisnes Tidak Mengira Umur"


(sumber imej: Entrepreneur.com)


Iktibar

Umur bukan penentu kebolehan dan kejayaan dalam bisnes.

Yang muda ada tenaga dan semangat membara. 

Yang tua ada pengalaman, jaringan dan modal.

Untuk berjaya - gunakan sepenuhnya kelebihan yang ada.

Kalau mampu merentas perbezaan umur dan bangsa - kekuatan yang digabung sangat amat mantap! 

Adakah kejayaan bergantung kepada permulaan kita?

Adakah bilionar2 lahir sebagai bilionar? Ya ada segelintir bilionar mewarisi kekayaan keluarga. Namun ramai bilionar dunia bermula dari bawah.

Apakah jawatan bilionar2 Malaysia (yang bukan mewarisi kekayaan) semasa mereka mula bekerja?

AK Nathan (Eversendai; RM 2.2 bilion)
- penjual suratkhabar dan agen insuran

Tony Fernandes (Air Asia, Tune Group; RM 2.4 bilion)
- juru audit syarikat

Jeffrey Cheah (Sunway Group; RM 3.52 bilion)
- juru audit kilang

Vincent Tan (Berjaya Group; RM 4.4 bilion)
- kerani bank

Syed Mokhtar Al-Bukhary (Konglomerat; RM 10.7 bilion)
- membela lembu dan menjual sayur, daging dan beras

Lee Shin Cheng (IOI Group; RM 17 bilion)
- menjual aiskrim dan penyelia kilang sawit

Teh Hong Piow (Public Bank; RM17.4 bilion)
- kerani bank

Robert Kuok (Konglomerat; RM 41.9 bilion)
- budak pejabat

(sumber: FunnyMalaysia.net)


Iktibar

Permulaan hidup tidak menentukan kejayaan atau kegagalan di masa hadapan.

Bermula dari bawah, tidak semestinya terus di bawah. 

Bermula dari atas, tidak semestinya kekal di atas.

Peluang terbuka untuk setiap insan tidak kira bangsa dan permulaan.

Baca biografi orang2 yang berjaya untuk mengenali sifat2 dan sikap2 mereka. 

Pelajar dari Bangladesh mengamuk hal PTPTN?

Saya berbual2 dengan seorang pelajar lelaki dari Bangladesh. Beliau masih menuntut peringkat ijazah di sebuah universiti swasta Malaysia.

Duduk menyewa bersama sembilan orang lain di sebuah pangsapuri. Katanya, tuan rumah membeli dua unit dan mengubah suai dalaman rumah menjadi asrama. Menarik juga idea tu!

Setiap kali cuti universiti, beliau akan bekerja. Tidak pernah bercuti melancong atau bersantai. Pernah bekerja di kedai fastfoood, menjadi kordinator latihan dan berbagai lagi. Mahu mencari pengalaman dalam bisnes katanya.

Selanjutnya, dia kata "saya ada bisnes sewa kereta".

Saya: "Tak ada orang curi ke kereta sewa?"

Pelajar Bangladesh: "Curi tak ada. Tapi ada pernah kereta rosak, dia tinggal tepi jalan".

Saya: "Kereta kancil ke?"

Pelajar Bangladesh: "Kancil dan paling besar Pesona"

Saya: "Untung ke bisnes sewa kereta?"

Pelajar Bangladesh: "Saya mula dulu dengan dua (2) kereta. Sekarang saya ada enam belas (16) kereta sewa"

Saya..... rasa nak menangis!


Iktibar 

Pelajar Bangladesh yang datang jauh ke Malaysia tidak sibuk mengutuk dan mengeluh. Tidak sibuk enjoi berpanjangan. Tidak menonton drama2 yang mematikan sel2 otak. 


Beliau fokus pada mencari pengalaman bisnes. Sanggup berkuli.

Merantau dari Bangladesh, masih belum mendapat ijazah, sudah ada bisnes 16 biji kereta sewa.

Kalau dia boleh, tak kan kita pun tidak boleh berjaya di bumi Malaysia yang dirahmati dan diberkati ini?